PETALING JAYA – Kerajaan memperkenalkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelepasan tersebut merangkumi perbelanjaan bagi bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan serta program kebudayaan yang diiktiraf kerajaan.
“Bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tahun Melawat Malaysia 2026 disasarkan menjadi antara kempen pelancongan terbesar negara, dengan pelbagai program promosi, acara kebudayaan dan pelbagai insentif bagi menarik pelancong tempatan serta antarabangsa. – KOSMO! ONLINE