SEBERANG JAYA – Misteri penemuan mayat seorang lelaki yang disumbat dalam bagasi besar di kawasan lapang berhampiran Flat Ampang Jajar, Butterworth di sini, semalam kemungkinan ialah pemuda yang dilaporkan hilang, 8 Oktober lalu.
Identiti mangsa yang dikenali sebagai Lee Boon Han, 31, dimaklumkan selepas bapanya dilihat hadir ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, pagi tadi.
Mayat mangsa dilaporkan ditemui dalam keadaan tangan diikat selain dikatakan terdapat kesan kelar pada leher, kira-kira pukul 1.43 tengah hari, semalam.
Namun, sehingga laporan berita ini disiarkan, tiada pengesahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung identiti mayat tersebut.
Terdahulu, tular satu laporan polis berhubung kehilangan mangsa yang merupakan ejen insurans yang dibuat oleh bapanya berusia 69 tahun, di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, pada 8 Oktober lalu.
Menerusi laporan tersebut, mangsa dikatakan keluar dari rumahnya di Paya Terubong untuk berjumpa pelanggannya di Perlis dengan memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna kelabu.
Kehilangan mangsa disedari bapanya selepas dia dikatakan tidak pulang ke rumah selain gagal dihubungi ahli keluarga. -KOSMO! ONLINE