WELLINGTON – Walaupun kebanyakan orang diberi nama yang biasa-biasa sahaja, seorang lelaki meraih gelaran pemilik nama paling panjang di dunia, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pada Mac 1990, Laurence Watkins menukar namanya dengan menambah lebih 2,000 nama tengah.
Hasilnya, dia memenangi gelaran Guinness World Records bagi nama peribadi terpanjang dengan jumlah keseluruhan 2,253 perkataan unik.
Berazam kuat, Laurence membawa kesnya ke Mahkamah Tinggi New Zealand yang memihak kepadanya, membolehkan dia mengekalkan nama tersebut.
Walaupun memberikan kemenangan kepada Laurence, pihak mahkamah turut mengubah dua undang-undang bagi menghalang orang lain melakukan perkara serupa.
Bercakap kepada Guinness World Records, dia berkata: “Saya sentiasa tertarik dengan rekod pelik dan luar biasa yang cuba dicapai oleh sesetengah orang dan saya benar-benar mahu menjadi sebahagian daripada dunia itu.
“Saya membaca buku Guinness World Records untuk melihat sama ada ada terdapat rekod yang boleh saya pecahkan dan satu-satunya peluang saya ialah dengan menambah lebih banyak nama daripada pemegang rekod semasa.” – AGENSI