fbpx
AISAR mengingatkan rakan pempengaruh usah gentar memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan sentiasa yakin dengan rezeki Allah.

‘Jangan takut hilang kerja sebab bersuara, dunia ini sementara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tidak menghakimi, pempengaruh Aisar Khaled mengakui memahami tindakan segelintir rakan seindustri memilih berdiam diri dalam isu kemanusiaan Gaza kerana bimbang kehilangan pekerjaan serta rezeki.

Aisar atau nama sebenarnya Aisar Khaled Kamel, 25, bagaimanapun menegaskan keyakinan terhadap rezeki daripada Tuhan jauh lebih penting daripada ketakutan terhadap manusia.

“Saya faham, ada yang takut bersuara sebab bimbang rezeki hilang, kerja tak ada.

“Tapi kalau kita fikir semula, dunia ni sementara. Kita kena berkorban sedikit dan percaya pada rezeki.

“Bila kita yakin dengan Allah, Dia pasti akan ganti dengan rezeki yang lebih banyak. Kena banyak sabar dan percaya dengan rezeki. Itu saja,” katanya kepada Kosmo! Online.

Paling penting katanya, solidariti perlu dilakukan bukan untuk mencari perhatian atau pujian, sebaliknya datang daripada keinsafan terhadap penderitaan dialami rakyat Palestin.

“Bagi saya, tugas seorang pempengaruh bukan sekadar kongsi gaya hidup. Kita ada tanggungjawab untuk bersuara tentang isu kemanusiaan.

“Ini bukan soal bangsa atau agama tetapi soal hati dan perikemanusiaan. Kita boleh lihat sendiri bagaimana rakyat Palestin menanggung derita sejak sekian lama.

“Tambahan pula, ayah saya ada darah campuran Jordan dan Palestin, jadi perjuangan ini memang dekat di hati,” kongsinya.

Sebelum ini, Aisar antara ribuan rakyat Malaysia yang turun dalam Himpunan Solidariti bersama Gaza bagi memberi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Menariknya, dia hadir dengan membawa bendera Palestin sepanjang 100 meter hasil buatan sendiri bersama pasukannya.

Terdahulu, 23 sukarelawan Malaysia di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat dibebaskan selepas ditahan rejim Zionis sejak 2 Oktober lalu.

Antara yang terlibat termasuk selebriti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi sebelum pulang ke tanah air beberapa hari lalu selepas transit di Istanbul, Turkiye. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI