MANCHESTER – Spekulasi mengenai masa depan pengendali Manchester United, Ruben Amorim seakan menemui noktah apabila pemilik bersama kelab itu, Sir Jim Ratcliffe sudah memberikan bayangan mengenainya.
Selepas mengambil alih tugas sebagai pengurus pada November tahun lalu, Amorim tidak menikmati tempoh ‘bulan madu’ di Old Trafford apabila pasukan itu masih belum menemui keseimbangan prestasi dan sering berdepan keputusan buruk.
Musim lalu mereka menamatkan saingan di kedudukan ke-15 Liga Perdana Inggeris dan selepas tujuh perlawanan musim ini, mereka sudah tewas tiga kali menyebabkan Amorim dianggap belum mencapai tahap prestasi diinginkan pihak pengurusan kelab itu.
Bagaimanapun, Ratcliffe mengakui tidak panik dan menggesa semua pihak untuk terus bersabar apabila menganggap semua pengurus yang menikmati kejayaan perlu bermula dengan tempoh yang sukar.
“Saya masih ingat Sir Alex Ferguson hampir dipecat ketika tempoh dua tahun awalnya di United. Anda boleh lihat juga (Mikel) Arteta di Arsenal, beliau berdepan situasi sama dalam tempoh beberapa musim awal.
“Benar, United adalah pasukan yang mementingkan keputusan pada akhirnya, tetapi kami perlu bersabar dan melihat apa yang baik di sebalik keputusan diperoleh setakat ini. Kami memiliki pelan jangka panjang, ia tidak semudah seperti membuka suis lampu.
“Ruben perlu buktikan dia adalah pengendali yang baik dalam tempoh tiga tahun kontraknya. Ya, saya melihat itu adalah tempoh yang sesuai kerana bola sepak bukan perancangan yang singkat,” katanya. – AGENSI