BANGKOK – Polis Thai menahan seorang lelaki tempatan kerana mengikat bom buatan sendiri pada motosikal jirannya yang kemudian meletup di sebuah apartmen di daerah Bang Kapi, Bangkok, lapor portal berita Thaiger semalam.
Mangsa dikenali sebagai Nihasun ‘Sun’ Lathe, putus tiga jari akibat perbuatan Suthat Denyingyot, 32. Suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut kerana marahkan mangsa meletakkan motosikal di ruang parkir suspek, Selasa lalu.
Sun membuat laporan di Balai Polis Hua Mak dan menjelaskan bahawa dia terlihat objek mencurigakan diikat pada tayar hadapan motosikalnya.
Ketika cuba membuka ikatan, bom tersebut meletup.
Hasil penelitian rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan Suthat meletakkan bom pada motosikal mangsa.
Suthat dituduh menyebabkan kecederaan serius dan memberitahu polis bahawa dia belajar membuat bom melalui platform video YouTube. – AGENSI