PETALING JAYA- Penekanan kerajaan terhadap kejadian buli di sekolah secara konsisten mampu membuatkan masyarakat lebih cakna kepada isu terbabit yang kian meruncing saban tahun sehingga mencetuskan kegusaran.
Ini berikutan kejadian buli di sekolah kini boleh diklasifikasikan sebagai jenayah berat sehingga menyebabkan kematian dan kecedaraan serius dalam kalangan pelajar.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, inisiatif yang dirangka itu diyakini dapat mendedahkan masyarakat dengan pelbagai jenis informasi berkaitan bahaya buli.
“Apabila masyarakat lebih sedar dan memahami kesan buli, nilai-nilai positif serta budaya kasih sayang dapat dipupuk.
“Ini sekaligus membantu mengekang kegiatan buli daripada terus berlaku,” katanya dalam satu video mengulas Belanjawan 2026 di Facebook.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan apabila melihat isu buli sebagai masalah kritikal yang perlu ditangani segera.
Terdahulu, dalam pembentangan beliau, Datuk Seri Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju membentangkan RUU Antibuli 2025 bagi mengekang gejala buli.
Katanya, seluruh kekuatan menerusi kementerian dan agensi sedia ada akan digembleng bagi mengekang gejala buli.- KOSMO! ONLINE.