PETALING JAYA – Pengguna jalan raya diingatkan agar lebih berhati-hati ketika melalui laluan Gua Musang – Kuala Krai yang dikenal pasti sebagai antara jalan berisiko tinggi di Pantai Timur.
Menerusi perkongsian video di TikTok, Sani Express, pihak pengendali bas itu menyifatkan laluan berkenaan sebagai ‘macam-macam ada’ kerana keadaan jalannya yang mencabar, terutama pada waktu malam.
“Peringatan kepada semua pemandu, laluan ini mempunyai banyak selekoh, jalan yang gelap dan licin, serta haiwan liar dan ternakan yang kadang-kadang melintas, terutama pada waktu malam.
“Pandulah dengan berhati-hati dan utamakan keselamatan diri serta penumpang,” pesannya.
Pesanan tersebut diberikan susulan kejadian menimpa salah sebuah kenderaan syarikatnya yang terlibat dalam kemalangan bersama sekumpulan lembu.
Melihat kepada video 30 saat hasil rakaman papan pemuka (dashcam) bas terbabit, ketika pemandu melalui laluan Gua Musang – Kuala Krai pada waktu malam, secara tiba-tiba dia bertembung dengan sekumpulan lembu sedang melintas jalan.
Meskipun sempat memberhentikan kenderaan secara mengejut, pemandu tetap terlanggar beberapa ekor lembu sehingga ada yang terpelanting.
Bagaimanapun lembu terbabit dilihat terus bangun dan segera meninggal laluan tersebut dan kemudiannya pemandu bas beresar meneruskan perjalanannya.
Sebelum ini, laluan Gua Musang – Kuala Krai dikatakan kawasan ‘hotspot’ kerana sering dilaporkan berlaku kemalangan akibat keadaan jalan yang gelap dan berselekoh.
Terdahulu, empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak dilaporkan maut dalam satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta dan treler di Jalan Utama Felda Chiku Satu, laluan Gua Musang–Kota Bharu, pada 11 Ogos lalu.
Difahamkan, kereta yang dipandu seorang wanita bertembung dengan treler yang tidak membawa muatan ketika melalui jalan utama berbukit di kawasan Felda Chiku Satu. – KOSMO! ONLINE
@saniexpress_bus Laluan Agak Berisiko: Gua Musang – Kuala Krai Peringatan kepada semua pemandu, laluan ini mempunyai banyak selekoh, jalan yang gelap dan licin, serta haiwan liar dan ternakan yang kadang-kadang melintas — terutama pada waktu malam. Pandulah dengan berhati-hati dan utamakan keselamatan diri serta penumpang. Sani Express menawarkan perkhidmatan perjalanan yang selamat, selesa dan lancar. #KeselamatanTanggungjawabBersama #KeselamatanJalanRaya #keselamatandankeselesaanandakeutamaankami #SafeJourney #fypシ゚viralシfypシ゚viralシalシ ♬ Very Sad – Enchan