fbpx
Perkongsian pengguna media sosial berkaitan masalah yang dihadapi pada laluan LRT Kelana Jaya petang tadi.

Tren rosak, tak cukup dan penumpang sesak macam ‘sardin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebahagian penumpang menggesa pihak Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) mengawal jumlah penumpang yang dibenarkan berada di dalam tren pada satu-satu masa, terutama ketika berlaku gangguan teknikal melibatkan transit aliran ringan (LRT).

Pengguna, Nur Athira berkata, keadaan dalam gerabak yang terlalu sesak bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah boleh mendatangkan bahaya kepada penumpang.

“Saya rasa Rapid KL (Rapid Rail) patut kawal kemasukan penumpang. Orang ramai tolak-menolak untuk masuk dan keluar, sampai gerabak terlalu padat. Ia sangat berbahaya,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Tambahnya, situasi itu juga boleh mencetuskan serangan panik dalam kalangan pengguna yang tidak selesa berada dalam ruangan sempit tanpa pengudaraan mencukupi.

“Tolonglah Rapid KL, buat sesuatu sebelum ada yang cedera. Dalam keadaan sesak begini, orang boleh panik,” katanya.

Wanita berkenaan turut berkongsi pengalaman terpaksa keluar dari tren di Stesen Asia Jaya kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk apabila tren menghampiri kawasan tengah bandar.

“Saya turun awal di Asia Jaya sebab saya tahu bila sampai ke KL (Kuala Lumpur) nanti, keadaan akan jadi lebih sesak dan berisiko,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna LRT meluahkan rasa kecewa apabila lebih 100 penumpang terpaksa menunggu hampir sejam di Stesen KL Sentral tanpa sebarang makluman lanjut daripada pihak pengurusan.

“Pekerja dekat LRT KL Sentral ‘no instruction no notice’ (tiada arahan tiada maklumat). Orang ramai tertanya-tanya untuk buat apa, dah lebih 40 minit laluan Kelana Jaya ada masalah, tak ada ‘mitigation plan’ langsung ke?,” soalnya.

Terdahulu, beberapa pengguna media sosial turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kesesakan luar biasa di laluan LRT Kelana Jaya susulan gangguan operasi yang menyebabkan kelewatan dan penumpukan penumpang di beberapa stesen utama.

Rapid Rail dalam kenyataannya memaklumkan, perkhidmatan LRT mengalami gangguan bekalan kuasa di landasan antara Stesen Universiti dan Stesen Abdullah Hukum pada masa ini.

Tambah syarikat pengendali itu, bagi memastikan penumpang dapat meneruskan perjalanan, perkhidmatan tren alternatif diaktifkan dari Stesen Taman Jaya dan Stesen Bangsar (Platform 2).

“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail berada di lokasi kejadian bagi kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi dengan secepat mungkin.

“Penumpang dinasihatkan untuk merujuk media sosial Rapid KL bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai status perkhidmatan laluan Kelana Jaya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI