fbpx
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita di Shah Alam hari ini. FOTO:AFIQ RAZALI

PRN Sabah: BN teliti calon berdasarkan etnik, boleh menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) sedang meneliti senarai calon yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan mengambil kira kebolehan menang serta latar belakang etnik dan sub-etnik diwakili calon.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kriteria itu penting bagi memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat wakil rakyat yang seimbang.

“Kita sedang menunggu tarikh rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian.

“BN Sabah sudah mengemukakan nama-nama calon kepada saya dan kita sedang meneliti dari segi kebolehan kemenangan mereka.

“Kita turut mengambil kira kumpulan etnik dan sub-etnik yang akan diwakili calon-calon BN,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen 152 (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan) Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Menurut Zahid, kesemua faktor tersebut akan digabungkan bersama kriteria lain seperti kekuatan parti, isu yang bakal diketengahkan dalam manifesto serta konsep WALI iaitu (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).

“Ini mengambil kira senarai yang dikemukakan dan juga senarai yang kita lakukan kajian di lapangan,” tegasnya.

Ahmad Zahid turut memberikan bayangan akan menampilkan ramai calon muka baharu termasuk tokoh muda bagi PRN itu.

“Insya-Allah, banyak muka baharu dan tokoh-tokoh muda akan diketengahkan selain mengekalkan beberapa nama lama yang berprestasi tinggi di dalam pilihan raya yang lalu dan juga di dalam menterjemahkan perkhidmatan mereka di kawasan yang mereka wakili.

“(Berapa banyak kerusi akan ditandingi?) Kita akan umumkan secara rasmi pada hari penerimaan calon nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI