PETALING JAYA – Seorang pesara syarikat swasta kerugian hampir RM6 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan telefon menyamar sebagai pegawai Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan dari polis daerah Subang Jaya berhubung kejadian itu selepas mangsa berusia 73 tahun menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Menurutnya, pada Mei lalu, mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai NFCC Putrajaya dan menuduh mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai kanan polis yang mengaku dari IPK Sarawak.
“Suspek mengatakan mangsa disyaki terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram dan perlu mengisytiharkan harta dan wang simpanan miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata, kemudiannya pada Jun lalu, suspek mengarahkan mangsa membuka empat akaun bank berasingan sebelum memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun berkenaan.
“Mangsa diarahkan memasukkan semua kad ATM ke dalam sampul surat dan meninggalkannya di padang permainan USJ 22/1, selain turut memberikan maklumat perbankan kepada suspek,” ujarnya.
Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas memaklumkan kepada anaknya sebelum membuat laporan polis.
Katanya, mangsa dianggarkan mengalami kerugian keseluruhan RM5,996,586.51 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE