MELAKA – Pemilik pikap jenis Isuzu yang videonya tular kerana menampal pelekat bertulisan Hebrew tampil di Balai Polis Ayer Kuning Selatan, Gemencheh pada pukul 8 malam kelmarin bagi memberi keterangan dan menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan rejim zionis Israel.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 59 tahun itu yang juga pesara kerajaan menjelaskan pelekat tersebut telah ditampal pada kenderaannya sejak tahun 2012 semata-mata kerana minat terhadap seni tulisan.
“Pemilik pikap itu seorang pesara kerajaan yang telah bersara empat tahun lalu. Dia mendakwa memang meminati seni tulisan seperti Greek, Rusia serta Hebrew dan telah menempah pelekat itu di sebuah kedai di Selangor.
“Dia ada melihat tulisan asal ‘Yisrael Beiteinu’ yang bermaksud Israel Rumahku dan mengubahnya kepada ‘Malizia Beiteinu’ iaitu Malaysia Rumahku, lalu menampal pelekat itu di pikap tersebut sejak 2012 tetapi baru disedari orang ramai dan tular di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, hari ini.
Tambah Dzulkhairi, lelaki itu turut menjelaskan bahawa maksud perkataan berkenaan ialah ‘Malaysia Rumahku’ dan bukannya ‘Malaysia Milik Kami’ seperti yang ditularkan netizen.
“Setakat ini, hasil keterangan yang kita ambil, dia menyatakan tulisan itu tidak ada kena-mengena dengan Israel dan hanya mahu menzahirkan semangat cintakan negara menggunakan tulisan Hebrew.
“Ini adalah keterangan dia, bukan bermakna kita percaya bulat-bulat. Siasatan akan diteruskan termasuk mendapatkan pandangan daripada pakar bahasa dan melihat kepada elemen-elemen lain,” ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dan arahan untuk menanggalkan pelekat tersebut daripada kenderaan berkenaan dilakukan sementara siasatan dijalankan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.-KOSMO! ONLINE