DUBLIN – Bekas juara dua divisyen UFC, Conor McGregor digantung 18 bulan selepas melanggar peraturan antidoping, namun masih berpeluang kembali beraksi pada acara khas di White House tahun depan.
Menurut laporan Combat Sports Anti-Doping (CSAD), McGregor gagal memaklumkan lokasi keberadaannya kepada pihak penguji pada tiga tarikh berbeza iaitu 13 Jun, 19 September dan 20 September tahun lalu yang dikategorikan sebagai pelanggaran di bawah polisi antidoping UFC.
Bintang Ireland berusia 37 tahun itu menerima tempoh penggantungan 18 bulan bermula dari 20 September tahun lalu, bermakna dia layak bertanding semula pada 20 Mac 2026.
CSAD menjelaskan, hukuman itu sebenarnya boleh mencecah dua tahun, namun dikurangkan enam bulan selepas McGregor memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan mengemukakan bukti kukuh berhubung keadaannya ketika itu.
“McGregor telah menunjukkan tanggungjawab sepenuhnya serta memberikan maklumat terperinci yang membantu siasatan,” kata kenyataan CSAD.
Difahamkan, McGregor ketika itu sedang pulih daripada kecederaan jari kaki yang memaksanya menarik diri daripada perlawanan menentang Michael Chandler pada Jun 2024.
Pihak UFC turut mengesahkan pelanggaran itu tidak membabitkan pengambilan bahan terlarang, sebaliknya hanya kegagalan melaporkan lokasi untuk ujian rawak seperti yang diwajibkan kepada semua atlet.
Menariknya, hukuman itu tidak menjejaskan rancangan UFC untuk menganjurkan pertarungan istimewa di White House pada 14 Jun 2026, yang dijangka menjadi pentas kemunculan semula McGregor.
“Conor sangat bermotivasi untuk kembali. Kami bercakap setiap minggu dan acara White House itu benar-benar membakar semangatnya,” kata Presiden UFC, Dana White. – AGENSI