PETALING JAYA – Keputusan memilih bekas anggota tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bukan dibuat secara semberono, sebaliknya berasaskan keperluan mendesak untuk menangani gejala buli yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu diambil selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada guru MRSM yang mendakwa terbeban dengan tugas hakiki serta tanggungjawab tambahan sebagai warden.
“Guru MRSM ramai mengadu bahawa mereka sudah cukup terbeban dengan tugas hakiki untuk mengajar. Guru MRSM yang bertugas sebagai warden tidak akan mampu berjaga setiap malam dan melakukan pemantauan di asrama. Palimg lama pun pukul 12 tengah malam kerana mereka perlu berada di maktab seawal 6.30 pagi keesokannya.
“Aktiviti tidak bermoral seperti buli lazimnya tidak berlaku sebelum pukul 12 tengah malam atau waktu akademik. Sebab itulah ketiadaan warden yang memantau secara berterusan pada waktu-waktu berisiko seperti ini membuka ruang untuk buku berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahannya, rungutan itu turut meliputi kadar elaun tambahan sebanyak RM300 sebagai warden yang dianggap tidak sepadan dengan beban tugas tersebut.
“Lebih berkesan jika warden yang bertugas sepenuh masa di asrama dilantik untuk memfokuskan pembangunan disiplin dan sahsiah pelajar di luar waktu akademik bermula pukul 6 atau 7 petang,” jelasnya.
Asyraf menegaskan, beliau tidak pernah menyatakan bahawa pendekatan ini yang terbaik, namun menegaskan keperluan langkah segera bagi mengekang gejala buli yang semakin ketara.
“Biarlah program rintis yang sedang berjalan dan masuk bulan ketiga di beberapa MRSM selesai dalam tempoh enam bulan tempoh penilaian.
“Selepas enam bulan, pasukan penyelidik yang merupakan pihak ketiga dan bebas daripada UPM (Universiti Putra Malaysia) akan membuat penilaian dan penyelidikan mengenai inisiatif Mara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, dapatan kajian tersebut akan dikongsi bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab ke atas Mara, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, maklum balas berhubung pelaksanaan dasar ini diperoleh hasil daripada siri lawatan dan tinjauan mengejut beliau ke institusi pendidikan di bawah Mara. – KOSMO! ONLINE