fbpx
Gambar Hiasan

Malaysia bersedia sertai operasi pengaman di Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia mengambil bahagian dalam sebarang bentuk operasi pengaman di Palestin sekiranya diwujudkan di bawah panji panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia antara negara yang aktif menyokong misi pengaman antarabangsa di bawah panji PBB.

Kata beliau, sejak tahun 2007, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Batalion Malaysia (Malbatt) telah menyertai Pasukan Interim PBB di Lubnan.

“Penyertaan sebegini melambangkan komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman PBB.

“Menegaskan pendirian negara dalam menyokong keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN- Padang Terap) tentang pendirian rasmi Malaysia berhubung penubuhan pakatan ketenteraan negara-negara Islam bagi menghadapi dasar penindasan Israel.

Terdahulu, Mohamad menerangkan, saranan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudaini dalam satu sesi temu ramah dengan Al-Jazeera Qatar pada 14 September 2025.

Katanya, saranan itu dibuat semasa menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam pada 15 September 2025, namun cadangan berkenaan tidak diusulkan pada sidang kemuncak tersebut.

Kata beliau, dasar Luar Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip penyelesaian secara aman melalui diplomasi, rundingan dan dialog yang selaras dengan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, cadangan untuk menubuhkan pakatan ketenteraan dalam kalangan negara-negara Islam perlu diperhalusi dengan teliti.

Jelasnya, Malaysia lebih cenderung untuk berpandangan sebarang bentuk kerjasama sedemikian perlu bersifat menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan semata-mata.

“Pendekatan holistik yang turut merangkumi bantuan kemanusiaan dan pembangunan kapasiti adalah penting bagi memastikan objektif
keamanan dan kesejahteraan dicapai.

“Pada hemat Malaysia, sekiranya wujud kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara Islam termasuk dari sudut penyelarasan bantuan kemanusiaan, ia berpotensi memperkukuh solidariti umat Islam dan seterusnya meningkatkan keberkesanan usaha membantu rakyat Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI