DUBAI – Mahkamah Kesalahan Ringan Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mendenda seorang lelaki Eropah sebanyak 1,000 dirham (RM1,148) kerana menyerang seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun, lapor portal berita Gulf News hari ini.
Kejadian berlaku di sebuah kawasan permainan dalam pusat beli-belah.
Kejadian pada Oktober 2024 itu menyaksikan seorang lelaki Asia membuat aduan bahawa lelaki Eropah berusia dalam lingkungan 60-an itu menampar anak lelakinya.
Ketika itu, berlaku pertelingkahan antara mangsa dan anak perempuan lelaki Eropah berkenaan, demikian menurut akhbar Arab Al Khaleej.
Menurut aduan tersebut, bapa mangsa bergegas ke kawasan permainan selepas mendengar tangisan kuat anaknya.
Dia sebelum itu memerhati dari jauh dan mendapati lelaki Eropah tersebut menghampiri anaknya dan menampar mangsa.
Kanak-kanak lelaki itu terjatuh dan kepalanya terhentak pada dinding berdekatan hingga meninggalkan kesan lebam serta trauma emosi.
Walaupun laporan perubatan tidak menemui sebarang kecederaan fizikal yang jelas pada mangsa, mahkamah memutuskan bahawa ketiadaan tanda luaran tidak menafikan berlakunya kesalahan. – AGENSI