MELAKA – Seorang pekerja loji penapisan di Sungai Udang maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung kenderaan jenis sama yang dipercayai ditunggang secara melawan arus di Jalan Sungai Udang, di sini malam tadi.
Nahas pada pukul 7.50 malam itu mengorbankan mangsa, Mohd. Huzaimi Hamid, 44, yang meninggal dunia di lokasi akibat parah di bahagian kepala. Seorang lagi penunggang berusia 21 tahun dirawat di zon merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, nahas dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai ditunggang secara melawan arus dari arah Taman Desa Taming Sari menuju ke simpang lampu isyarat.
“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan motosikal Honda dinaiki Mohd. Huzaimi yang datang dari arah Bertam Setia ke Sungai Udang. Akibatnya, lelaki itu maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa cedera parah,” katanya kepada pemberita hari ini.-KOSMO! ONLINE