BARCELONA – Bekas pengendali Barcelona, Xavi mengakui Lamine Yamal memiliki pakej yang lengkap untuk menyamai rekod legenda, Lionel Messi dalam mengharumkan nama kelab The Catalan itu ke tahap yang lebih tinggi.
Sebagai rekod, Yamal yang berusia 18 tahun telah dibandingkan dengan Messi apabila mula mencipta nama di usia muda selain membantu pasukan menjuarai gelaran trebel domestik pada tahun lalu.
Malah, Yamal juga cemerlang di peringkat antarabangsa apabila memastikan Sepanyol dapat menamatkan penantian trofi dengan menjulang Euro edisi 2024.
Menurut Xavi, Yamal memiliki persamaan dengan Messi dan seorang lagi bekas pemain Barcelona, Neymar, tetapi perlu bekerja keras jika mahu diiktiraf sebagai pemain terbaik dunia dengan menjuarai Ballon d’Or nanti.
“Saya rasa Yamal seperti insan yang terpilih kerana pada usia 15 tahun, dia mampu untuk mengatasi pemain-pemain yang lebih senior. Aksi lincah di atas padang sama seperti ketika kita lihat pemain seperti Messi atau Neymar.
“Dia memiliki potensi untuk menjadi salah seorang pemain terbaik dalam sejarah tetapi segalanya bergantung dengan kesediaanya untuk kekal komited.
“Malah, saya tidak terkejut jika dia dapat menjuarai Ballon d’Or pada edisi akan datang kerana dia seorang pemain yang cukup genius dan ada bakat luar biasa,” katanya. – AGENSI