fbpx
Gambar hiasan

Kes influenza meningkat, kluster bertambah di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pemantauan sentinel dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kadar Influenza-Like Illness (ILI) meningkat, diikuti pertambahan jumlah kluster influenza yang kebanyakan direkodkan di institusi pendidikan.

Bagaimanapun, KKM berkata, peningkatan itu masih dalam jangkaan musim influenza dan terkawal.

Katanya, ia berikutan kadar kemasukan ke hospital bagi kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) menunjukkan sedikit penurunan.

“Survelan makmal juga mengesahkan tiada mutasi baharu dikesan dengan penularan berpunca daripada virus Influenza A (H3) iaitu strain bermusim.

“Pemantauan di 58 klinik kesihatan sentinel seluruh negara menunjukkan kadar ILI meningkat kepada 7.38 peratus pada ME 40/2025 berbanding 5.95 peratus pada minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

KKM berkata, lima negeri dengan kadar konsultasi ILI tertinggi adalah Selangor (14.63 peratus), Melaka (12.49 peratus), Pulau Pinang (12.49 peratus), Kuala Lumpur dan Putrajaya (11.62 peratus) serta Sabah (8.73 peratus).

“Pemantauan di sembilan hospital sentinel pula mendapati kadar kemasukan kes SARI menurun daripada 9.59 peratus( ME 39/2025) kepada 9.08 peratus (ME 40/2025).

“Sebanyak 97 kluster influenza (meliputi influenza A dan B) dilaporkan pada ME 40/2025, meningkat berbanding 14 kluster pada ME 39/2025.

“Semua negeri melaporkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5),” katanya.

Majoriti kluster dilaporkan berlaku di sekolah menengah (32), sekolah rendah (26), tadika (15) dan sekolah swasta (9).

“Peningkatan ini mencerminkan pola penularan influenza bermusim yang lazim berlaku dan setakat ini masih terkawal.

“KKM juga ingin menjelaskan bahawa ujian makmal tidak dijalankan secara rutin bagi semua kes ILI kerana majoritinya adalah bergejala ringan dan boleh didiagnosa secara klinikal tanpa memerlukan pengesahan makmal.

“Rawatan diberikan kepada pesakit yang berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil serta individu dengan penyakit kronik yang bergejala jangkitan influenza,” katanya.

Secara umumnya, influenza boleh pulih tanpa rawatan khusus.

Pesakit dinasihatkan untuk berehat secukupnya, minum air dengan banyak serta mengamalkan etika batuk dan kebersihan diri bagi mengelakkan penularan kepada orang lain.

Bagi institusi pendidikan, pihak berwajib disarankan membuat pemantauan pelajar yang bergejala, memastikan mereka segera mendapatkan rawatan serta diasingkan dan memberi makluman awal kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sekiranya berlaku peningkatan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI