ISKANDAR PUTERI – Angkara cemburu, seorang wanita warga Bangladesh bertindak memotong alat kemaluan teman lelaki selepas mengetahui kekasihnya itu masih belum menceraikan isteri yang berada di negara asal.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mengenai kejadian itu pada pukul 10.45 pagi, semalam.
Jelasnya, pengadu memaklumkan kenalannya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun mengalami kecederaan pada bahagian kemaluan dan tangan kiri selepas diserang teman wanitanya di Kampung Lokan, Gelang Patah di sini.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjutz
“Susulan laporan diterima, polis menahan seorang wanita Bangladesh berusia 34 tahun, kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Kumarasan berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan awal air kencing juga negatif dadah.
Katanya, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang 29 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perasaan cemburu.
“Suspek mengetahui mangsa masih belum menceraikan isterinya di Bangladesh walaupun sudah menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih dengannya.
“Suspek kini direman lima hari bermula Khamis hingga 13 Oktober bagi membantu siasatan,” ujarnya lagi.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE