KUALA LUMPUR – Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengalu-alukan penerimaan Hamas terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai langkah positif ke arah mencapai gencatan senjata menyeluruh di Gaza.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perjanjian fasa pertama daripada cadangan gencatan senjata itu merangkumi penarikan balik pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan.
Menurut beliau, fasa pertama itu merupakan langkah-langkah penting bagi memulihkan kestabilan dan meringankan penderitaan orang awam di Gaza.
“Seiring dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kaukus melihat perkembangan ini sebagai peluang penting untuk menamatkan keganasan, penderitaan dan ketidakadilan yang dialami rakyat Palestin.
“Mengorak langkah ke arah keamanan yang berkekalan di rantau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan oleh Kaukus Palestin Parlimen Malaysia hari ini.
Syed Ibrahim berkata, Kaukus Palestin Parlimen Malaysia menggesa kerajaan Malaysia terus terlibat secara aktif dalam semua usaha antarabangsa dan serantau bagi mencapai penyelesaian yang adil dan segera terhadap konflik tersebut.
Menurut beliau, Kaukus Palestin Parlimen Malaysia memuji komitmen diplomatik kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Kaukus menegaskan sokongan konsisten Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri dan keadilan.
“Kaukus juga menyeru kedua-dua pihak khususnya Israel agar tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat proses damai atau memanjangkan penderitaan orang awam,” katanya.
Kata beliau, Ahli Parlimen Malaysia berdiri teguh bersama semua usaha yang menjunjung prinsip keamanan, keadilan dan kemanusiaan serta menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi
terhadap rundingan damai yang sedang berlangsung dan hak sah rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE