fbpx
Penduduk mengangkut air minuman dari tangki mudah alih di kem Bureij di tengah Gaza pada 6 Oktober lalu. - AFP

Israel, Hamas setuju laksana fasa pertama pelan damai Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAHERAH – Israel dan Hamas bersetuju terhadap fasa pertama pelan damai untuk menghentikan pertempuran dan membebaskan tebusan di Gaza serta tahanan Palestin sekali gus membawa harapan untuk menamatkan konflik dua tahun itu, lapor akhbar The Guardian.

Hamas berkata, ia telah mencapai persetujuan untuk menamatkan perang di Gaza susulan rundingan berhubung pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Menurutnya, perjanjian itu termasuk pengunduran tentera Israel dari kawasan yang dipersetujui dan pertukaran tebusan-tahanan.

Hamas menggesa Trump dan negara-negara penjamin untuk memastikan Israel mematuhi gencatan senjata sepenuhnya. 

Kumpulan itu juga berkata, ia akan membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup hujung minggu ini, demikian menurut sumber yang mengetahui perjanjian itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, dia akan mengadakan mesyuarat kerajaan hari ini untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata Gaza yang bertujuan membawa pulang semua tebusan.

Trump juga mengumumkan permeteraian tersebut di rangkaian sosial Truth Social dengan mengatakan bahawa beliau ‘sangat berbangga’ untuk mengumumkan fasa pertama perjanjian itu.

“Ini bermakna semua tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan mengundurkan pasukan mereka ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kuat, tahan lama dan kekal,” tulis Trump.

Presiden AS itu turut memuji apa yang dikatakannya sebagai ‘hari yang hebat’ untuk dunia Arab dan Islam, Israel dan semua negara sekitarnya, serta AS.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pengantara dari Qatar, Mesir, dan Turkiye, yang bekerjasama dengan kami untuk menjayakan peristiwa bersejarah dan belum pernah terjadi ini,” katanya.

Bagaimanapun, masih banyak butiran perjanjian yang dimuktamadkan selepas tiga hari perbincangan di pusat peranginan Laut Merah di Mesir, Sharm el-Sheikh itu masih tidak jelas, manakala cabaran untuk melaksanakan termanya adalah sangat besar. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI