fbpx
King Sing

‘Kesal kekeliruan, salah faham yang timbul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kesal kekeliruan dan salah faham yang timbul berhubung satu program makan malam baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya lewat memaklumkan terdapat perubahan saat akhir berhubung penganjur program tersebut.

“Kemungkinan kesilapan pada malam itu. Sepatutnya saya umum (penganjuran) bukan dari kita (Tourism Malaysia). Saya buat kesilapan kerana logo di sana masih tunjuk Tourism Malaysia.

“Semua (yang hadir) pemain industri. Acara makan malam itu bukan rasmi, ia adalah acara ‘private’. Pekeliling tidak terpakai dan isu minimum beralkohol tak sepatutnya timbul,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai garis panduan kementerian bagi memastikan majlis rasmi termasuk yang ditaja pihak swasta atau industri mematuhi Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 khususnya larangan menghidang minuman beralkohol dalam program rasmi kerajaan.

King Sing berkata, beliau dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagaimanapun secara bertanggungjawab mengesali kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan kesulitan.

Beliau menjelaskan, keadaan itu tidak berlaku dalam acara Global Travel Meet 2025 di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025) di Melaka.

Jelasnya, Motac memahami tentang larangan menghidang alkohol dalam acara rasmi kerajaan di bawah Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 (Peraturan Mengenai Keraian Rasmi)

Sehubungan itu, King Sing menyeru orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menghina, membuat tuduhan melulu dan mempolitikkan isu berkenaan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi nasihat, kita terima. Saya kata kita jangan ulang main politik, tuduh dan (kononnya) hina orang Islam. Kita tak hina, dalam apa anjuran kita, memang tak ada alkohol di atas meja,” katanya.

Dalam pada itu, King Sing memaklumkan, penganjuran Global Travel Meet 2025 mengutip nilai jualan pelancongan RM420 juta sepanjang tiga hari penganjuran.

Kata beliau, jumlah itu melebihi sasaran awal antara RM50 juta hingga RM60 juta kerana ia pertama kali dianjurkan.

“Kita jual (pakej pelancongan) kepada antarabangsa. Itulah impak rundingan B2B (perniagaan dengan perniagaan) antara penggiat industri tempatan dan syarikat agensi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI