PETALING JAYA – Keluarga aktivis Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) berharap agar proses pembebasan dapat dipercepatkan.
Anak kepada aktivis yang juga pasangan suami isteri Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali dan Dr. Fauziah Hassan, Shamil, 40, berkata, ini kerana kebanyakan aktivis Malaysia adalah warga emas.
“Harapan kami adalah agar semua proses ini dipercepatkan, sebab mereka yang ditahan ini ramai dalam kalangan orang tua, termasuk ibu bapa saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Shamil, pihak peguam daripada pertubuhan hak asasi manusia, Adalah: The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel telah pun bertemu dengan delegasi Malaysia.
“Kami masih menunggu laporan rasmi dari mereka,” katanya.
Menurut Shamil, pihak MyCare juga sedang bekerjasama dengan Wisma Putra untuk mempercepatkan proses pembebasan aktivis terbabit dan sedang menanti pengesahan lanjut.
Dia memaklumkan, semua tahanan kini ditahan di sebuah penjara Israel dan masih belum diketahui tarikh perbicaraan akan dijalankan. – KOSMO! ONLINE