JOHOR BAHRU – Gerakan Koperasi Johor telah mencatat perolehan tahunan berjumlah RM824.57 juta sepanjang tahun lalu, membuktikan sektor tersebut mempunyai potensi menjadi pemacu pertumbuhan sosioekonomi negara.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah menggesa sektor koperasi untuk mengambil peluang dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Katanya, JS-SEZ merupakan platform tepat koperasi tempatan meneroka dan menceburi aktiviti ekonomi berskala tinggi serta peluang pemasaran produk dan perkhidmatan secara lebih meluas.
“Ini kerana koperasi memainkan peranan sebagai pemacu pembangunan masyarakat yang inklusif, merangkumi pelbagai lapisan seperti B40, wanita, belia, komuniti orang asli serta golongan profesional.
“Berlandaskan semangat kebersamaan dan keusahawanan, koperasi membuka laluan kepada peningkatan taraf hidup, selain satu bentuk model perniagaan yang telah diterapkan sejak di bangku sekolah lagi,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Johor 2025 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE