KAHERAH – Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama gencatan senjata termasuk menghentikan pertempuran diikuti pembebasan tebusan di Gaza dalam persetujuan ke arah menamatkan konflik dua tahun tersebut, lapor akhbar The Guardian.
Hamas mencapai persetujuan untuk menamatkan perang di Gaza susulan rundingan mengenai pelan damai tajaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut Hamas, perjanjian itu termasuk pengunduran tentera Israel dari kawasan yang dipersetujui disusuli pertukaran tebusan serta tahanan Palestin.
Hamas menggesa Trump dan negara-negara penaja untuk memastikan Israel mematuhi gencatan senjata itu sepenuhnya.
Hamas akan membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup hujung minggu ini, demikian menurut sumber yang mengetahui perjanjian itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, dia akan mengadakan mesyuarat kerajaan hari ini untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata Gaza, bertujuan membawa pulang semua tebusan.
Trump juga mengumumkan perjanjian tersebut di rangkaian Truth Social dengan berkata, beliau ‘sangat berbangga’ untuk mengumumkan fasa pertama perjanjian itu.
“Ini bermakna semua tebusan(Israel) akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan mengundurkan tenteranya ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kuat, tahan lama dan kekal,” kata Trump.
Trump turut memuji apa yang dikatakannya sebagai ‘hari yang hebat’ untuk dunia Arab dan Islam, Israel dan semua negara sekitarnya, serta AS.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pengantara dari Qatar, Mesir, dan Turkiye, yang bekerjasama dengan kami untuk menjayakan peristiwa bersejarah dan belum pernah terjadi ini,” katanya.
Gencatan senjata akan berkuat kuasa serta-merta selepas diluluskan oleh kerajaan Israel sekitar pukul 2 petang (waktu Baitulmuqaddis) atau 7 malam waktu Malaysia, kata seorang pegawai kanan Palestin seperti dipetik Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Bagaimanapun, masih banyak butiran perjanjian yang belum jelas selepas tiga hari rundingan mengenainya berlangsung di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir, manakala cabaran untuk melaksanakan termanya adalah sangat besar. – AGENSI