SERDANG – Semua sukarelawan Malaysia yang ditahan di penjara Ketziot di Negev, Israel, dinasihatkan supaya menandatangi Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, semua aktivis misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) itu akan dibebaskan dalam tempoh 72 selepas borang berkenaan ditandatangani.
“Kita telah nasihatkan kepada peserta Malaysia untuk menandatangi surat pelepasan itu supaya urusan pengeluaran boleh dilaksanakan dalam tempoh 72 jam.
“Peguam (Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel) telah meminta untuk bertemu dengan mereka awal petang ini nanti memandangkan sekarang ini masih awal pagi lagi di sana (Israel),” katanya di Ibu Pejabat MyCare, di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ketika ditahan tentera Israel ialah Ketua Delegasi Malaysia, Prof Emeritus Dr Mohd. Alauddin, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Selain itu, Prof Dr. Mohd Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, turut berada di atas kapal sama.
Seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr. Maziah Muhammad pula berada di atas kapal Umm Saad.
Semua mereka sebelum ini bersepakat untuk menandatangi Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera sekiranya ditahan oleh tentera Israel.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, ini memandangkan mereka tidak mahu mengambil risiko berpanjangan susulan penahanan tersebut. – KOSMO! ONLINE