PETALING JAYA – Destinasi deportasi kesemua delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) masih belum diketahui.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, terdapat kemungkinan semua delegasi Malaysia akan ke Turkiye atau Jordan sebelum pulang ke tanah air.
“Belum ada maklumat terkini sama ada delegasi Malaysia akan dihantar terlebih dahulu ke Turkiye, Jordan atau terus ke Malaysia. Mereka akan dimaklumkan semula,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, malam ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, lapan rakyat Malaysia yang menaiki kapal Conscience ditahan tentera Israel. Mereka ialah Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi.
Turut ditahan ialah Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi doktor perubatan iaitu Dr. Maziah Muhammad pula berada di atas kapal Umm Saad. – KOSMO! ONLINE