fbpx
Sembilan delegasi Malaysia yang menyertai Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) kini ditahan Israel.

Freedom Flotilla: 9 delegasi Malaysia selamat, beberapa peserta dikasari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kesemua sembilan delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pihaknya dimaklumkan melalui peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah), ada beberapa peserta berdepan layanan kejam semasa serta selepas ditahan tentera Israel.

“Menurut laporan peguam Adalah, beberapa peserta flotila turut dikasari secara fizikal dan dilayan tanpa perikemanusiaan, termasuk ditendang, ditampar serta dicengkam secara agresif oleh tentera Israel.

“Mereka dilayan seperti binatang walaupun datang membawa misi kemanusiaan. Delegasi kami bukan pengganas, sebaliknya terdiri daripada doktor, wartawan dan sukarelawan antarabangsa yang membawa ubat-ubatan, makanan bayi serta bantuan untuk rakyat Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, malam ini.

Katanya, MyCARE akan melakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebaik semua delegasi dibebaskan bagi memastikan tahap fizikal dan mental mereka berada dalam keadaan baik.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ketika ditahan tentera Israel ialah Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi.

Selain itu, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil, turut berada di atas kapal sama.

Seorang lagi doktor perubatan, iaitu Dr. Maziah Muhammad pula berada di atas kapal Umm Saad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI