SERDANG – “Daripada tujuh sukarelawan yang ditemui itu, dua daripadanya itu (dilayan) ‘sedikit keras’.
Itu antara perkembangan terkini aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel, hari ini.
Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata, tahap kekerasan yang dikenakan ke atas para peserta berkenaan oleh tentera Israel ketika ditahan masih belum diketahui.
“Belum ada kepastian. Cuma ‘bagaimana’ keras, kita belum ada maklumat terperinci lagi. Mungkin keganasan dari sudut rampasan barang-barangan lah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare, di sini hari ini.
Setakat ini kata beliau, semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan tujuh daripada mereka telah bertemu dengan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah).
“Dua (sukarelawan) tidak sempat lagi untuk bertemu, mungkin pagi ini waktu Israel untuk urusan guaman selanjutnya.
“Peguam adalah telah pun menuntut untuk hadir di semua perbicaraan dan akan memberikan maklumat terkini tidak lama lagi,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare, hari ini.
Tambah beliau, belum dapat dipastikan bila mereka dapat dibebaskan berikut urusan pemulangan sedang diuruskan.
“Urusan pemulangan itu sedang diuruskan. Cuma kita belum ada maklumat terkini berkaitan perkara tersebut sehinggalah para peguam dapat bertemu dengan semua peserta dan urusan itu dapat dilaksanakan, insya-Allah. – KOSMO! ONLINE