KUALA LUMPUR – Penganjuran Forum ASEAN+3 memberi tumpuan kepada usaha kerajaan memperkasakan wanita luar bandar melalui keterangkuman digital.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, forum dengan tema Wanita dan Pendigitalan menunjukkan bahawa golongan itu memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat luar bandar.
Menurutnya, forum itu juga merupakan kesinambungan Dasar Pembangunan ASEAN 2021–2025, serta persediaan untuk dasar baharu 2025–2030.
“Kita dapat lihat bahawa golongan wanita mempunyai cabaran yang tinggi bukan sahaja dari segi pendedahan pendidikan, teknologi, peluang pekerjaan dan dari sudut kewangan,” katanya ketika ditemui selepas Forum ASEAN+3 Wanita dan Pendigitalan di sini, hari ini.
Selain itu, katanya kementerian turut memperkukuh peranan Pusat Komuniti Desa (PKD) sebagai pusat latihan digital dan keusahawanan wanita.
“Kita ada 191 PKD yang menjadikan satu platform kepada wanita khasnya dalam latihan berkaitan digital dan menjadi pusat bisnes untuk fasiliti luar bandar digunakan sepenuhnya untuk wanita,” ujarnya.
Melalui langkah ini, wanita luar bandar diharap dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan sosioekonomi dan kemajuan negara secara keseluruhan. – KOSMO! ONLINE