MANCHESTER – Legenda Manchester United, Peter Schmeichel mengakui tugas penjaga gol di kelab berkenaan adalah untuk menyelamatkan 10 mata semusim dan bukannya membenarkan ia hilang menerusi kesilapan-kesilapan mudah.
Schmeichel melaungkan cabaran itu kepada penjaga gol baharu United, Senne Lammens yang lulus ujian pertama apabila beraksi tanpa bolos ketika mencatat kemenangan ke atas Sunderland 0-2 minggu lalu.
Lammens dibawa masuk pada saat akhir jendela perpindahan musim panas lalu setelah aksi goyah dipamerkan dua penjaga gol sebelum ini, Andre Onana dan Altay Bayindir sejak dua musim lalu.
Schmeichel berpendapat bahawa sejak beberapa tahun lalu, penjaga gol United dilihat sering menjadi punca kelab itu kehilangan mata dalam perlawanan dan ia perlu segera diatasi dengan segera.
“Kita selalu memikirkan mengenai penjaga gol yang dimiliki kelab ini sejak beberapa tahun lalu, berapa banyak gol yang bolos hasil kesilapan sendiri, musim ini sahaja sudah sembilan gol kerana pemain di posisi itu.
“Sangat baik untuk melihat aksi tanpa bolos (menentang Sunderland). Persembahan yang cukup solid untuk seorang penjaga gol. Dia tidak mengambil masa yang lama, apabila bola sampai ke kakinya, dia (Lammens) akan terus melakukan hantaran.
“Itu yang anda jangkakan daripada seorang penjaga gol muda, gaya permainannya seakan Edwin (Van Der Sar). Dia juga telah menjalankan tugas dengan baik, menyelamatkan bola. Itu tugas sebenar penjaga gol,” jelasnya. – AGENSI