LONDON – Arsenal mungkin memilih Stadium Wembley sebagai ‘rumah’ baharu mereka apabila sedang merancang untuk menaik taraf dan menambah kapasiti stadium mereka Emirates.
The Gunners berhijrah ke Emirates yang memiliki 60,704 tempat duduk pada 2006 ketika era Arsene Wenger, namun mereka kini merancang untuk menambah kapasiti stadium berkenaan melebihi 70,000.
Laporan menyebut, Arsenal berminat untuk mengikut jejak Real Madrid yang berjaya membesarkan stadium mereka Santiago Bernabeu sehingga kapasiti 84,000 yang menelan belanja £1.5 bilion (RM8.49 bilion).
Sekiranya projek berkenaan berjaya dilaksanakan, Arsenal menjadi kelab yang berpangkalan di London dan memiliki stadium dengan kapasiti paling besar mengatasi Stadium Tottenham Hotspur (62,850) dan Stadium London (62,500) yang menjadi ‘rumah’ untuk West Ham United.
Bagaimanapun, Arsenal terlebih dahulu perlu membuat keputusan mengenai stadium sementara yang mereka akan gunakan sepanjang kerja-kerja menaik taraf Emirates dengan Wembley dianggap pilihan terbaik.
Spurs sebelum ini ketika menaik taraf stadium mereka terpaksa menggunakan Wembley untuk tempoh hampir dua tahun bermula 2017 apabila venue baharu mereka itu hanya siap selepas April 2019.
Sepanjang tempoh berkenaan, Spurs dilaporkan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga £15 juta (RM84.92 juta) untuk bayaran sewa sepanjang tempoh ‘menumpang’ di Wembley.
Laporan turut menyebut, kos penambahbaikan Emirates itu bakal menelan belanja sehingga £500 juta (RM2.83 bilion). – AGENSI