fbpx
Muhammad Amirul Mustaqeen (dua dari kiri) dan Leong Jayden (dua dari kanan) di samping peserta yang meraih anugerah emas dalam IMSO 2025 kali ke-22 di AIU, Alor Setar, hari ini.

Enam murid genius raih emas pertandingan Sains, Matematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Enam murid Malaysia mencatatkan kemenangan membanggakan apabila meraih anugerah emas dalam acara International Mathematics and Science Olympiad (IMSO) 2025 kali ke-22 di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di sini hari ini.

Peserta tersebut, Marcus Wan, Muhammad Amirul Mustaqeen Shamsudin dan Robin Yan, masing-masing berusia 12 tahun meraih emas bagi kategori Sains sementara Benjamin Chew, Chong Enn dan Leong Jayden yang juga berusia 12 tahun bagi Matematik.

Muhammad Amirul Mustaqeen, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Height, Jitra berkata, dia tidak menyangka meraih anugerah tersebut walaupun namanya tersenarai pada saat-saat akhir.

“Ujian kelayakan saya rendah dan hampir putus asa tetapi apabila dipanggil untuk turut serta saya buat terbaik sehingga mampu meraih markah yang agak tinggi bagi anugerah emas ini. Alhamdulillah berada dalam 10 terbaik bersama peserta senegara.

“Soalan yang diberikan pun dikatakan seperti peperiksaan tingkatan enam tetapi alhamdulillah saya berjaya,” katanya ketika ditemui pada majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah IMSO di AIU hari ini yang disempurnakan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rahim Mat.

Jayden dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Seri Kembangan memberitahu, meraih anugerah emas itu membangkitkan semangatnya untuk cemerlang dalam akademik di peringkat menengah nanti.

“Paling sukar adalah ketika perlu menulis esei dan soalan sangat susah serta banyak kiraan, namun berkat latih tubi ulang kaji sebelum ini, saya berjaya jawab dengan cemerlang,” ujarnya.

Sebanyak 400 murid sekolah dari 23 negara Benua Asia, Eropah, Afrika dan Amerika menyertai IMSO yang akan berlabuh di Indonesia pada tahun depan.

Murid dari Singapura, Jiang Wenhan dan Chu Yi-Yen, 12, meraih peserta terbaik bagi keseluruhan acara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI