fbpx
Suspek yang dicekup oleh pihak imigresen di sekitar Putrajaya, Selasa lalu. Foto ihsan JIM

Ejen haram kantoi urus pasport warga asing, pernah ditangkap tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai ejen haram tawar perkhidmatan Pas Khas dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dicekup dalam Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Putrajaya, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan sekitar pukul 4.10 petang itu hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Pasukan operasi telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas lapan naskhah pasport India dan satu unit telefon bimbit.

“Turut disita sebuah kenderaan jenis Honda CR-V yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk kegiatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan imigresen berkaitan PLIK kepada warga India di sekitar di Lembah Klang.

“Suspek yang ditahan ini tidak mempunyai kebenaran dari pihak JIM atau surat kuasa mewakili majikan bagi menguruskan pasport warga asing.

“Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM400 hingga RM1,500 bagi setiap perkhidmatan,” jelasnya.

Zakaria berkata, semakan lanjut turut mendapati lelaki itu pernah ditangkap pada tahun lalu atas kesalahan sama dan telah dikenakan hukuman, namun kembali aktif dengan kegiatan serupa.

Ujarnya, suspek kini disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Selain itu katanya, seorang lagi lelaki tempatan turut diberikan notis hadir ke pejabat JIM bagi membantu siasatan.

Zakaria menegaskan, pihaknya akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti haram berkaitan imigresen.

“JIM komited membanteras kegiatan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara selaras dengan hasrat kerajaan Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI