TELUK INTAN – Polis menahan seorang duda selepas dipercayai memperkosa anak kandungnya yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di Langkap di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, suspek berusia 47 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan pada 28 September lalu.
Katanya, suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak 10 kali sejak Mac lalu. Mangsa tinggal bersama bapanya selepas kematian ibu pada 2023.
“Lelaki itu tidak bekerja dan dia ditahan pada hari sama laporan polis diterima. Suspek direman sejak 29 September lalu untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, suspek dijangka dituduh di Mahkamah Teluk Intan di sini esok atas 10 pertuduhan. – KOSMO! ONLINE