SARATOK – Seorang wanita dan lelaki ditangkap kerana menjadi keldai akaun bagi sindiket scammer.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata kedua-dua suspek dicekup di Kota Samarahan menerusi Op Kesan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, semalam.
Menjelas lanjut, beliau berkata tangkapan ke atas suspek wanita berusia 42 tahun dibuat susulan dua laporan kes penipuan yang diterima pihaknya, melibatkan kerugian lebih RM46,000.
“Hasil siasatan, suspek mengaku bahawa akaun tersebut adalah miliknya. Akaun tersebut telah dibuka di Cawangan Kuching namun suspek tidak tahu tentang kemasukkan wang ke dalam akaun yang didaftarkan atas namanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manakala, Mathew berkata suspek lelaki berusia 20 tahun dicekup susulan satu laporan penipuan ‘Phone Scam’ melibatkan kerugian sebanyak RM380.
Katanya suspek turut mengaku bahawa akaun itu adalah miliknya dan dia telah lama tidak digunakannya.-KOSMO! ONLINE