BASSE-TERRE, GUADELOUPE – Seorang warga emas di wilayah Guadeloupe melakukan rompakan dengan sengaja bagi membolehkannya ditangkap dan dimasukkan ke penjara untuk membantu cucunya, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Lelaki berusia 60 tahun yang identitinya tidak didedahkan itu pada hujung bulan lalu merompak sebuah pasar raya menggunakan senjata api dan meminta wang daripada juruwang.
Selepas mengambil habuan, dia berjalan dengan perlahan ke arah kereta sebelum ditangkap dan dibicarakan di mahkamah.
Ketika dibicarakan, bekas anggota bomba tanpa rekod jenayah itu disahkan sengaja bertindak demikian bagi membantu cucunya yang merupakan banduan di sebuah penjara tempatan.
“Dia terdesak, dia tidak berminat dengan wang dan hanya mahu dimasukkan ke penjara untuk menemani cucunya,” kata peguam yang dilantik oleh mahkamah, Lea Le Chevillier.
Tambah Chevillier, defendan mengaku melihat cucunya semasa sesi lawatan dengan keadaan gigi patah selepas dicabul oleh rakan-rakan banduan.
Hakim memerintahkan bahawa defendan bertindak kerana terdesak dan tidak sepatutnya dihukum penjara seperti yang sepatutnya.
Dia sebaliknya diarahkan membayar pampasan kepada mangsa rompakan dan dilarang pergi ke pasar raya tersebut, menerima rawatan psikologi serta dibenarkan terus melawat cucunya di penjara. – AGENSI