JAKARTA – Seorang petani di Sukabumi, wilayah Jawa Barat maut akibat dipatuk seekor ular tedung selar (king cobra) selepas bertarung dengan reptilia itu berhampiran kawasan rumahnya, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Lelaki dikenali sebagai Ocang, 73, ditemukan sudah tidak bernyawa di luar rumahnya Isnin lalu.
Tidak jauh dari mayat Ocang, bangkai seekor ular tedung selar sepanjang 4 meter ditemukan dengan keadaan kepalanya ditikam dengan tongkat kayu.
Seorang jiran, Libra Rustiana berkata, reptilia itu sudah tiga kali datang ke rumah Ocang dan cuba memakan ayam peliharaan lelaki itu.
“Ular itu sebelum ini ditemukan di dalam reban ayam Ocang, sudah tiga kali ular itu datang.
“Ocang terpaksa membunuh ular itu,” kata Libra sambil menambah, mayat warga emas itu ditemukan pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) dengan kesan gigitan ular. – AGENSI