SHAH ALAM – Kerajaan akan menubuhkan Dana Perkhidmatan Pos bernilai RM50 juta bagi membolehkan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengekalkan perkhidmatan asas penghantaran surat ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dana itu diperkenalkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejajar dengan tanggungjawab perkhidmatan sejagat (USO) yang digariskan Kesatuan Pos Sedunia (UPU).
“Dana ini sebenarnya telah termaktub dalam Akta Perkhidmatan Pos 2012, tetapi baru sekarang ia dilaksanakan melalui Kerajaan Madani bagi memastikan rakyat tidak terputus akses perkhidmatan pos,” katanya berucap melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena Hari Pos Sedunia 2025 di Pusat Mel Nasional, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menggesa Pos Malaysia segera melaksanakan model perniagaan baharu atau Proof of Concept (POC) bagi membolehkan syarikat terus berdaya saing dalam pasaran.
Tegasnya, langkah ini bagi menangani cabaran struktur yang semakin mendesak termasuk kemerosotan jumlah mel, penurunan kunjungan pelanggan ke pejabat pos dan persaingan sengit dalam pasaran bungkusan.
“POC perlu dijalankan segera kerana hal ini telah dibincangkan sejak Mac tahun ini. Jadi, jangan tangguh lagi pelaksanaan POC,” katanya. – KOSMO! ONLINE