SEPANG – Empat cubaan menyeludup lebih 1,000 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM98 juta digagalkan kastam dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini baru-baru ini.
Pengarah Kastam (Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kuala Lumpur, Zulkifli Muhammad berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi keselamatan lain termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Katanya, lima lelaki tempatan berusia 35 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan mendapati, empat kes ini membabitkan cubaan seludup dadah ke pasaran Eropah yang menggunakan pelbagai taktik termasuk penyamaran barangan dagangan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, kes pertama direkodkan pada 1 Oktober lalu susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 60-an di KLIA Terminal 1 selepas disenarai hitam kerana tunggakan duti dan cukai.
Pemeriksaan ke atas bagasi lelaki itu menjumpai sebanyak 21.04 kg bunga ganja bernilai RM2.06 juta. Suspek telah dituduh di mahkamah baru-baru ini,” katanya.
Bagi kes kedua pada 27 September lalu, rampasan dibuat di pintu masuk eksport selepas pihak penguat kuasa mengesan 21 bungkusan dadah seberat 220.32 kg bernilai RM21.59 juta dalam lori kurier untuk dieksport ke sebuah negara Eropah.
Kes ketiga pula direkodkan pada 29 dan 30 September lalu membabitkan serbuan ke atas dua buah gudang logistik di Shah Alam dan Subang Jaya. JKDM menemui 52 bungkusan dadah daripada empat konsainan berbeza dengan berat 464.58 kg bernilai RM45.53 juta.
Katanya, kes keempat menyaksikan rampasan 294.35 kg bunga ganja bernilai RM28.85 juta di pintu masuk eksport Zon Bebas KLIA pada 3 Oktober lalu yang menggunakan lori kurier untuk membawa keluar 28 bungkusan ke luar negara. – KOSMO! ONLINE