fbpx
Anggota APMM sedang memeriksa bot yang ditahan berdekatan Pulau Ketam semalam.

Bot lebih kapasiti empat kali ganda ditahan Maritim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Tindakan sebuah bot mempertaruhkan nyawa penumpang dengan membawa empat kali ganda kapasiti dibenarkan mengundang padah apabila ditahan pada jarak 0.4 batu nautika barat daya Pulau Ketam di sini, semalam.

Perbuatan berisiko tersebut berjaya dikesan kira-kira pukul 1.55 petang selepas Maritim Malaysia (APMM) menerima aduan orang awam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda APMM diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan bot berkenaan tidak lama kemudian.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa 48 penumpang walaupun hanya dibenarkan memuatkan 12 orang pada satu masa.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang nakhofa dan dua kru warga tempatan berusia 33 hingga 63 tahun.

“Tindakan membawa lebihan penumpang ini adalah kesalahan serius kerana melibatkan
keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan bot berkenaan akan membawa kesemua penumpang berkenaan bagi bersiar-siar sekitar Pulau Ketam termasuk melihat dan memberikan makan kepada burung helang.

Tegas Abdul Muhaimin, pihaknya telah mengeluarkan beberapa kali amaran, namun kes seumpama ini masih berulang.

Justeru katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang melanggar syarat lesen.

“Bot terbabit bersama nakhoda dan dua kru dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI