KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 2 Mac tahun depan bagi perbicaraan Ketua Pemuda, Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Muhammad Hilman Idham yang berdepan pertuduhan membuat kenyataan menimbulkan kegentaran awam melalui laman sosial TikTok.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh perbicaraan pada 2 dan 3 Mac 2026 selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan dan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan.
“Pihak pendakwaan baru sahaja menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan bagi memastikan perbicaraan kes ini berjalan secara teratur. Oleh itu, kami mohon tarikh perbicaraan,” kata Mohd. Sabri pada prosiding sebutan kes itu hari ini.
Mendengar perkara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu mengesahkan telah menerima dokumen terbabit daripada pihak pendakwaan.
Sementara itu, Muhammad Rafique ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata anak guamnya bersedia untuk perbicaraan dan tidak berhasrat untuk memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hilman didakwa mengeluarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah akaun TikTok pada pukul 2.09 petang, 30 Julai lalu.
Kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini.
Pertuduhan terhadap Muhammad Hilman, 36, dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pendakwaan terhadap Muhammad Hilman dibuat susulan kenyataannya dalam video di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’.
Video akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’ memaparkan ucapan Muhammad Hilman ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai lalu.
Difahamkan, himpunan itu dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.
Selepas perhimpunan berkenaan, beberapa pemimpin parti itu ditahan polis bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE