KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95) disifatkan sebagai langkah strategik yang bakal menjadi penentu awal arah fiskal negara dalam landskap polisi subsidi negara.
Penganalisis ekonomi dan pasaran, Datuk Dr. Nazri Khan berkata, inisiatif itu berpotensi besar bukan sahaja menstabilkan kedudukan fiskal negara, malah memastikan bantuan disalurkan secara langsung kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Malah kataya, inisiatif itu juga merupakan satu pelaburan semula terhadap masa depan ekonomi negara yang lebih mampan dan adil.
“Inisiatif Budi95 merupakan manifestasi komitmen kerajaan terhadap reformasi struktur subsidi yang lebih adil dan mampan.
“Ia bukan sekadar langkah penjimatan, tetapi pelaburan semula untuk masa depan ekonomi yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, menjelang pembentangan Belanjawan 2026, fokus kerajaan dijangka tertumpu kepada pemerkasaan disiplin fiskal, pengurangan defisit serta kesinambungan dasar subsidi bersasar melalui kerangka Budi95.
“Strategi ini diyakini bakal menjadi batu asas kepada pembentukan ekosistem fiskal yang mampan dan berasaskan kecekapan penggunaan sumber,” tambahnya.
Beliau menjangkakan pendekatan bersasar akan terus diperkasa dengan bantuan teknologi data seperti sistem Pangkalan Data Utama (Padu), sekali gus memastikan perbelanjaan kerajaan berada pada tahap optimum.
“Belanjawan 2026 dijangka mengekalkan keseimbangan antara tanggungjawab sosial dan realiti fiskal negara. Setiap ringgit mesti dibelanjakan secara optimum,” katanya.
Nazri turut menegaskan bahawa pelaksanaan Budi95 berpotensi menjadi kayu ukur kredibiliti kerajaan dalam mengurus fiskal secara berdisiplin tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap golongan berpendapatan rendah.
“Sebelum ini kerajaan menanggung beban subsidi RON95 hampir RM20 bilion setahun, namun dengan pelaksanaan subsidi bersasar, unjuran penjimatan fiskal dianggarkan sekitar RM8 bilion setahun.
“Penjimatan ini amat kritikal. Ia bukan sahaja mengurangkan defisit fiskal dan kebergantungan kepada hutang, malah meningkatkan kredibiliti Malaysia di mata pelabur antarabangsa,” katanya.-KOSMO! ONLINE