PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar pembentangan Belanjawan 2026 yang akan dibentang esok di Dewan Rakyat akan berjalan lancar.
“Doakan semuanya selamat,Insya-Allah,” kata Perdana Menteri ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir di Kementerian Kewangan di sini tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 3 petang disambut oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sejurus tiba, Anwar bergambar dengan pengurusan tertinggi setiap kumpulan yang terbabit dalam penyediaan Belanjawan 2026 di lobi utama Kementerian Kewangan.
Perdana Menteri kemudiannya menandatangani semua dokumen berkaitan Belanjawan 2026.
Semasa tinjauan kira-kira setengah jam itu, Perdana Menteri turut beramah mesra dengan petugas yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2026 di Dewan Utama di lobi Kementerian Kewangan.
Seramai 320 orang terbabit dalam penyediaan Belanjawan 2026 terdiri daripada Bahagian Cukai, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Bahagian Antarabangsa, Pejabat Belanjawan Negara dan Pasukan Bajet.
Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada pukul 4 petang esok. – KOSMO! ONLINE