fbpx
Abdull Razak (kiri) menunjukkan komponen tembaga yang dicuri dari pencawang telekomunikasi di daerah Padang Terap pada sidang akhbar di IPD Padang Terap, Kuala Nerang hari ini.

Bapa dua anak aktif curi komponen, kabel pencawang demi dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERANG – Kegiatan seorang bekas juruteknik syarikat telekomunikasi mencuri komponen pencawang termasuk kabel bagi mendapatkan wang RM6,000 sebulan untuk membeli dadah sejak dua tahun lalu berakhir selepas ditahan pada 1 Oktober lalu.

Suspek berusia 37 tahun itu di rumahnya di Pendang, dekat sini.

Bapa dua anak itu disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut sehingga menyebabkan kerugian lebih RM600,000 di lima daerah iaitu Padang Terap, Kota Setar, Yan, Pendang dan Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kes kecurian komponen di Kampung Tanjung, Padang Terap pada 30 September lalu.

“Dalam kejadian itu, beberapa peralatan dan komponen komunikasi hilang melibatkan kerugian RM112,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, di sini hari ini.

Katanya, hasil risikan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Terap dan Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah Kedah berjaya menahan tiga suspek.

“Suspek pertama berusia 37 tahun disyaki dalang utama ditahan tidak sampai tiga jam selepas laporan diterima. Dua lagi suspek berusia 31 dan 51 tahun disyaki pembeli barang curi ditahan hari sama di Alor Setar,” ujarnya.

Polis turut merampas beberapa komponen alat komunikasi dan pencawang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua laporan polis yang dibuat.

“Kita merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine selain memiliki empat rekod dadah,” jelasnya.

Katanya, suspek dipercayai mencuri pada waktu awal pagi dan memilih lokasi pencawang di kawasan pedalaman. Hasil jualan barang curi itu digunakan untuk membeli dadah bagi melepaskan ketagihannya.

“Dengan penahanan ini, kita percaya berjaya menyelesaikan 21 kes kecurian di empat daerah lain,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI