fbpx
Mohd Zamri meredah banjir di rumahnya di Kampung Pokok Asam, Langgar di Alor Setar, hari ini.

Banjir ‘termenung’, penduduk resah menunggu di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Lebih 100 penduduk di 10 kampung dekat Langgar dekat sini masih berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar ekoran rumah masing-masing masih digenangi air akibat banjir sejak Sabtu lalu.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, antara kampung tersebut ialah Kampung Alor Raja, Kampung Makam Diraja, Kampung Limbong, Kampung Alor Setol dan Kampung Pokok Asam.

“Turut terlibat Pondok Haji Ahmad, Kampung Tanjung Inggeris, Kampung Alor Besar, Kampung Pagar Air dan Kampung Pondok Syeikh. Setakat ini banyak kawasan yang sudah mula surut, cuma air agak perlahan.

“Insya-Allah sekiranya tiada hujan dalam masa terdekat ini, air akan surut dan mangsa boleh pulang ke rumah. APM membuat pemantauan di kawasan terlibat dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu menurut seorang mangsa, Mahanum Ahmad, 62, dari Pondok Haji Ahmad, mereka 10 beranak belum dapat pulang ke rumah kerana air masih bergenang di bahagian dapur.

“Nak balik pun susah sebab dapur masih ada air. Rumah kami mula dinaiki air sejak Sabtu lalu sehingga paras dada.

“Ini adalah kejadian terburuk sejak 2010. Kami berharap dapat pulang segera, kalau tidak hujan tentu sudah boleh pulang. Nak balik tengok barang rumah tentu ada yang rosak sebab terendam dalam air,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI