PUTRAJAYA – Rayuan kerajaan dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang diperintah membayar lebih RM5 juta kepada keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan di sini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hashim Hamzah memutuskan demikian selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak hari ini.
“Kita perlu masa untuk meneliti hujah-hujah,” kata Hakim Hashim.
Dua lagi hakim dalam panel itu yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Nik Mohd. Noor Nik Kar mewakili kerajaan yang bertindak sebagai perayu berhujah dan bahawa, jumlah ganti rugi RM5 juta diberikan oleh hakim Mahkamah Tinggi terlampau tinggi dan pihaknya mencadangkan agar Mahkamah Rayuan memberikan ganti rugi berjumlah RM1.384 juta kerana ia adalah munasabah.
“Hakim bicara tersalah arah apabila tidak membezakan personal liabiliti setiap responden semasa memberikan ganti rugi sebaliknya memberikan ganti rugi secara global berjumlah RM5 juta kepada responden-responden,” kata Nik Mohd. Noor.
Semasa prosiding, peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar mewakili Abdul Razak selaku perayu.
Sementara itu peguam Sangeet Kaut Deo yang mewakili keluarga Altantuya selaku responden berhujah kes saman itu membabitkan tort (kesalahan) perlembagaan berkaitan pelanggaran hak perlembagaan seseorang oleh pihak berkuasa atau kerajaan selain ia bukan sekadar tuntutan di bawah Akta Undang-Undang Sivil.
Sangeet menegaskan, pembunuhan Altantuya adalah pelanggaran terang-terangan terhadap hak perlembagaannya untuk hidup, oleh itu termasuk dalam tort perlembagaan, yang membolehkan mahkamah memberikan ganti rugi pemulihan kehormatan berkenaan.
Bagaimanapun dua lagi iaitu bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar tidak mengemukakan rayuan.
Pada 16 Disember 2022, keluarga Altantuya menang dalam saman kematian wanita itu apabila Mahkamah Tinggi di sini Shah Alam memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia membayar RM5juta sebagai ganti am dan teladan.
Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas mendapati plaintif berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.
Mahkamah berpendapat, jumlah ganti rugi RM5 juta disifatkan adil dan memadai berbanding RM100 juta yang difailkan tersebut yang disifatkan adalah berlebihan dan tidak boleh ditakfrifkan berdasarkan prinsip sahaja.
Sebelum ini, bapa mendiang, Dr. Shaariibuu Setev, ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.
Keluarga itu mendakwa, kematian model berkenaan pada 2006 menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif berikutan meninggal dunia pada 2017.
Seramai 26 saksi plaintif, termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 2019.
Defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman terbabit. – KOSMO! ONLINE