PETALING JAYA – Demi kemudahan buat anak sulungnya, usahawan dan pempengaruh Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida menghadiahkan kereta jenama Porsche 718 Cayman berwarna hitam kepada Ammar Ahyan.
Bagi Shahida atau nama penuhnya Nur Shahida Mohd. Rashid, 40, kenderaan bernilai kira-kira RM350,000 tersebut diberikan khusus untuk kegunaan harian Ammar, terutama sebagai pengangkutan ke kolej.
“Mama dan papa dah lama sebenarnya nak belikan kereta untuk Ammar Ahyan. Dia pun sudah besar dah ada lesen memandu.
“Senang nak pergi kolej. Ammar ini tak meminta kereta apa dia kata janji ada kereta dah cukup,” katanya dalam TikTok.
Selain itu, Shahida juga teruja meihat keterujaan anak lelakinya selain memaklumkan akan melimpahkan rezeki sama buat anak-anaknya yang lain.
“Patut sampai awal kereta ini tapi ‘delay’ (lewat) sikit, jadi mama dan papa tahu hari ini sampai tapi sebab nak kejutkan Ammar, kita rahsiakan.
“Nampak dia terkejut bila nampak kereta baharu. Insya-Allah ada rezeki untuk anak-anak mama yang lain bila sampai masanya,” jelasnya.
Pada masa sama, dia turut menitipkan nasihat agar anak lelakinya itu tidak alpa dengan nikmat yang dikurniakan selain sentias merendah diri.
“Untuk Ammar Ahyan, mama dengan papa nak pesan. Dah ada kereta ini jangan lupa diri, solat jangan tinggal, jangan riak dan sentiasa tunduk ke bumi.
“Ingat Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja jika hambanya tidak bersyukur,” tuturnya.
Menerusi video yang dikongsikan, Ammar menunjukkan reaksi teruja memiliki kereta tersebut di pekarangan rumah mereka.
Selain Ammar, Aliff dan Shahida mempunyai lima lagi cahaya mata iaitu Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim. – KOSMO! ONLINE