PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bakal menganjurkan acara ASEAN Arts & Crafts Bazaar (AACB) 2025 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay bermula esok.
Acara selama 10 hari sehingga 20 Oktober 2025, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu mengumpulkan 200 usahawan kraf dari 10 negara anggota ASEAN untuk mengetengahkan seni kraf negara masing-masing, melibatkan produk tekstil, hasil tanah dan hasil rimba.
Ketua Setiausaha Motac, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, bazar berkenaan disasarkan mampu menarik kehadiran sekitar 100,000 orang pengunjung.
“Acara yang julung kali diadakan ini merupakan satu platform terbaik bagi mengangkat hasil seni kraf Malaysia dan juga rantau ASEAN ke peringkat Asia dan antarabangsa.
“Kemasukan adalah percuma. Selain ketersediaan kemudahan parkir untuk kenderaan persendirian, kami menggalakkan pengunjung untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam kerana terdapat stesen MRT yang terletak berdekatan, iaitu Stesen Conlay,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Lawatan Mesra AACB 2025 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, kelmarin, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Pengerusi Kraftangan Malaysia, Mo Al-Hafizi Ab. Bakar dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Ramli.
Pameran selama tiga hari dari 6 hingga 8 Oktober 2025 sempena Mesyuarat Jawatankuasa Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) Ke-34 itu mengumpulkan 12 usahawan kraf tempatan.
Pada acara berkenaan, tetamu kehormat bersama delegasi ASCC turut menyertai aktiviti mewarna batik menampilkan rekaan bunga yang mewakili negara-negara ASEAN iaitu Anggerik Bulan (Indonesia), Simpor (Brunei), Dok Champa (Laos), Sampaguita (Filipina), Vanda Miss Joaquim (Singapura), Ramduol (Cambodia), Padauk (Myanmar), Teratai (Vietnam) dan Ratchaphruek (Thailand), dan Bunga Raya (Timur Leste).
Sementara itu, `Ainu Sham berkata, dalam usaha mengantarabangsakan industri kraf Malaysia, pihaknya telah membentuk kerjasama dengan Maybank yang menyaksikan pelancaran kad debit Maybank menggunakan imej tenunan songket.
“Kita berhasrat untuk meluaskan kerjasama ini supaya Maybank turut menawarkan produk kraf tempatan yang boleh ditebus oleh pengguna mereka menggunakan mata ganjaran kad.
“Selain itu, ia juga selari dengan persediaan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi mempromosikan produk kraf tempatan kepada pelancong antarabangsa,” katanya.